Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 November. - Pasukan Warisan Belait 'A' dinobatkan sebagai johan bagi Kategori Amatur pada Kejohanan Liga Super Sepak Takraw (LSST) TAIB 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Manakala, naib johan disandang oleh pasukan Brunei Legacy 'B', sementara tempat ketiga bersama diraih oleh pasukan Brunei Legend dan pasukan Binglu Tengah Tanah Jambu Warrior 'A'.
Johan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,500, sebuah trofi dan pingat kemenangan; sementara naib johan pula menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,000, sebuah trofi dan pingat kemenangan; manakala tempat ketiga bersama masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak BND500, sebuah trofi serta pingat kemenangan.
Sementara itu, Tekong Terbaik disandang oleh Awang Mohd. Zainol bin Yusran daripada pasukan Warisan Belait 'A', manakala Killer Terbaik pula disandang oleh Awang Khairulazzemi anak Sulaju daripada pasukan Brunei Legacy 'B', sementara Feeder Terbaik disandang oleh Awang Mohd. Inayatullah bin Omar daripada pasukan Warisan Belait 'A'.
Bagi Kategori Perdana, johan diraih oleh pasukan Muara Spurs 'B', manakala naib johan pula disandang oleh pasukan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei 'A', sementara tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh pasukan Miharbi dan pasukan Muara Spurs 'A'.
Johan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak BND5,000, piala pusingan, trofi dan pingat kemenangan; sementara naib johan pula menerima wang tunai sebanyak BND3,000, sebuah trofi dan pingat kemenangan; manakala tempat ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,000, sebuah trofi dan pingat kemenangan.
Sementara itu, Tekong Terbaik disandang oleh LPKL 6220 Aliffuddin bin Jamaludin daripada pasukan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei 'A'; manakala Killer Terbaik disandang oleh LPKL 6178 Zatie Hidayat bin Saidi juga daripada pasukan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei 'A'; sementara Feeder Terbaik disandang oleh Awang Mohd. Sahrul Nizam bin Gapar daripada pasukan Muara Spurs 'B'.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada Majlis Penutup Rasmi kejohanan dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya serta Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) selaku penaja utama kejohanan.
Edisi LSST TAIB pada tahun ini menampilkan sebanyak 46 pasukan terbaik yang berentap merebut gelaran juara dalam kejohanan anjuran Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, KKBS serta Perbadanan TAIB.
Penganjuran kejohanan LSST kali ketiga berkenaan turut mempertandingkan sebanyak dua acara, iaitu Liga Perdana dengan 14 pasukan dan Liga Amatur dengan 32 pasukan.
Matlamat utama kejohanan berkenaan adalah untuk mencari bakat baharu yang berpotensi untuk diserapkan dalam program pembangunan atlet, pelapis dan pemain kebangsaan, di samping menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan sepak takraw sebagai usaha Whole of Nation Approach ke arah cara hidup sihat, serta menghidupkan semula sukan tradisi sepak takraw yang telah lama bertapak di negara ini.